fb fb fb fb fb

TH terima 84,000 rayuan isi kekosongan haji

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mac-Lembaga Tabung Haji (TH) menerima 84,000 rayuan untuk mengisi kekosongan jemaah yang tidak dapat mengerjakan ibadat haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata, daripada jumlah itu, lebih 80,000 pemohon menyatakan kesanggupan untuk membayar kos haji sepenuhnya.

"Setakat hari ini, Tabung Haji telah menerima sebanyak 84,000. 31,600 sudah diisi. 91 peratus dah bagi jawapan.

"Jadi untuk baki sembilan peratus itu, yang nak diisi di kalangan 84,000 yang telah mengemukakan rayuan.

"84,000 yang buat rayuan itu, saya ingat hampir 80,000 yang memang bersedia untuk membayar kos Haji sepenuhnya.

"Itu maknanya semangat mereka nak menunaikan haji tahun ini", katanya pada sidang media Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Majlis Sumbangan Kepada Pusat Perubatan dan Hospital 2025 di sini pada Khamis.

Mohd Na'im berkata, sebelum ini, beliau mengemukakan rayuan kepada kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji Malaysia sebanyak 10,000 lagi pada tahun ini dan pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD