fb fb fb fb fb

Polis Melaka teruskan Ops Selamat 18

SEMABOK, 24 April - Polis Melaka meneruskan program Ops Selamat 18 sempena Perayaan Aidilfitri tahun ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, ini berikutan kadar kemalangan maut di Melaka dilihat membimbangkan dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, bagi bulan Januari hingga Mac tahun ini, statistik kemalangan maut di negeri itu meningkat 50 peratus, kepada 48 kes berbanding 32 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

(Ketua JSPT negeri, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar)

"Operasi ini juga adalah untuk mengurangkan kemalangan maut. Dalam tempoh tiga bulan tahun ini, didapati kemalangan maut meningkat. Kalau sebelum ini, dalam masa semasa 2 tahun negara dilanda COVID-19, ia kurang. Tetapi dalam tempoh tiga bulan pertama ini menunjukkan peningkatan.

"Jadi, kita perlu berhati-hati kita perlu nasihat kepada semua pengguna supaya mematuhi peraturan jalan raya", katanya kepada pemberita selepas program Pra Pelancaran Ops berkenaan di sini.

Bagi perayaan Aidilfitri kali ini, pegawai dan anggotanya ditugaskan secara bergilir di kawasan tumpuan pelancong bagi melaksana penyuraian trafik.

Pihaknya akan turut mengedarkan risalah keselamatan selain memberi nasihat kepada pengguna untuk mematuhi peraturan jalan raya.

Media Baharu