KUALA LUMPUR, 23 April - Kajian World Culture Score Index 2021 mendedahkan, purata rakyat Malaysia membaca tidak lebih tiga jam seminggu.
Adakah kita benar culas membaca atau revolusi medium bacaan merubah tabiat membaca?
Ternyata orang ramai masih lagi suka membaca ketika tinjauan RTM di sekitar ibu kota.
Rata-rata yang ditemui berkata suka membaca buku berkaitan tentang sukan, buku sejarah, astronomi dan dokumentari.
Malah ada yang lebih suka memilih membaca buku secara fizikal berbanding membaca secara dalam talian.
Menurut Pengarah Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Razali Che Mat berkata, perubahan teknologi juga faktor menambah minat kanak-kanak untuk membaca.
"Dahulu kita gunakan buku berbentuk kertas cetak tetapi kini telah berubah seperti teknologi dengan adanya aplikasi mengimbas kod QR, kalau dulu kanak-kanak dapat melukis lukisan yang boleh disentuh dan dilihat, sekarang lukisan sudah boleh bergerak dan bersuara, jadi semua itu menjadi faktor minat kanak-kanak untuk membaca," katanya kepada RTM, sempena Hari Buku Sedunia hari ini, di sini.
Penulis, Azimin Daud berpendapat platform media sosial lebih bersifat terkini menjadi pilih penulis buku.
"Segala aliran ini berlaku kepada para penulis yang memerlukan mereka mengubah kandungan daripada majalah kepada sebuah buku.
"Sebagai contoh melalui media sosial seperti membuat hantaran di Facebook, Instagram, dan Tiktok. Ayat-ayat yang dihantar dan disunting melalui media sosial akan dibaca oleh pengikut mereka, apabila hantaran menerima tanda suka (like) yang banyak, ini membuktikan bahawa ramai yang membaca kandungan mereka," katanya.
Pada 2014, Perpustakaan Negara Malaysia melaporkan, rakyat Malaysia hanya membaca 15 naskah buku setahun.
Hakikatnya, membaca masih diminati, namun kemajuan teknologi menyebabkan medium berubah dan e-buku alternatif baharu.
Ini diakui Jabatan Penerbitan DBP.
Buktinya, kajian Picodi.com mendapati, Malaysia di kedudukan keenam paling aktif membaca e-buku daripada 41 negara di seluruh dunia.
Laporan khas disediakan oleh wartawan Noredayu Dahlan.