SUNGAI PETANI, 10 Oktober- Polis daerah Kuala Muda merampas 74,600 liter minyak diesel bersubsidi dengan nilai berjumlah RM162,628 dalam operasi Op Subdi di beberapa kawasan termasuk di stesen minyak di sini pada Isnin.
10 lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga Myanmar berusia diantara 35 hingga 49 tahun dipercayai menjalankan kegiatan tersebut ditahan dalam operasi itu.
Ketua Polis daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata operasi dijalankan di sebuah premis di kawasan Perindustrian MIEL Bukit Makmur Sg Lalang, Stesen Minyak Shell Jalan Makmur Sg Lalang, Stesen Minyak Petron Taman Bistari Sungai Lalang dan taman perumahan Laguna Merbok.
Polis dengan kerjasama anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Sungai Petani turut merampas dua buah treler, lapan buah lori, sebuah pacuan empat roda, dua tangki berkapasiti 20,000 liter, 23 Unit IBC, 3 Unit Skid Tank, sebuah Unit Mesin Flow, lapan set motor pam dan hos.
Kesemua barang rampasan dibawa ke stor Pusat KPDN di Tunjang Jitra.
"Modus operandi sindiket ini menggunakan kenderaan berat dalam satu tan yang di ubah suai untuk pergi ke stesen-stesen minyak dan membeli minyak diesel di kawasan tersebut. Apabila selesai sindiket ini akan ke gudang dan menyimpan ke dua unit tangki di situ.
"Kemudian lori ini akan memindahkan diesel tersebut ke dalam tangki yang berkapasiti 20,000 liter sebelum ianya dipindahkan ke dalam treler (lori treler) yang boleh mengisi sehingga 42,000 liter bagi satu buah treler," katanya kepada pemberita di sini.
Minyak diesel yang dipercayai diseleweng itu akan dijual ke beberapa lokasi stor minyak di sempadan Malaysia-Thailand.
Sementara itu, sembilan individu merupakan pemandu lori dibebaskan dengan ikat jamin polis, manakala empat lagi terdiri pemilik premis dan tiga warga Myanmar ditahan untuk membantu siasatan.
(ACP Zaidy Che Hassan)