fb fb fb fb fb

Lebih 15,000 notis kesalahan dikeluarkan JPJ negeri Sembilan

REMBAU, 10 Oktober- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 15,639 notis kesalahan terhadap Kenderaan Komersil sejak Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu kesalahan Pelesenan Pemandu mencatatkan jumlah notis yang dikeluarkan paling tinggi iaitu sebanyak 4,711.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan Mohd Hanif Yusabra Yusuf, syarikat pengangkutan yang mengambil pemandu tidak berlesen atau lesen tamat tempoh juga akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"JPJ akan melaksanakan siasatan pengauditan ke atas kenderaan yang didapati melakukan kesalahan yang banyak ataupun berulang kali. Sekiranya didapati mereka ini melakukan kesalahan dengan banyak dan pengauditan telah dilaksanakan. Lesen perkhidmatan mereka berisiko digantung bawah akta pengangkutan darat," katanya kepada pemberita dalam sidang media Penguatkuasaan Khas Kenderaan Komersil (Perdagangan) di Stesen Penguatkuasa Pedas, Rembau.

Menurut Mohd Hanif berdasarkan Pemeriksaan Audit Keselamatan JPJ (JISA) sebanyak enam buah syarikat telah dikenakan tindakan lesen pengendali digantung sejak tahun 2022.

Dalam pada itu, Penguatkuasaan Khas Kenderaan Perdagangan yang meliputi Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) akan dilaksanakan dari 1 Oktober sehingga 31 Oktober ini di seluruh negeri itu.

(Mohd Hanif Yusabra Yusuf)

Media Baharu