KOTA TINGGI, 10 Oktober- Seorang penganggur dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor atas pertuduhan menggunakan gelaran palsu Datuk Seri di Bandar Penawar, pada April 2018.
Tertuduh, Imran Tolot, 50, membuat pengakuan tersebut dihadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan selepas pertuduhan dibacakan.
Imran Tolot didakwa menggunakan gelaran tersebut di sebuah hotel, tanpa kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) dibaca bersama Seksyen 17 akta kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Hakim menetapkan hukuman penjara selama dua tahun bermula tarikh tangkapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
(Imran Tolot di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi)