fb fb fb fb fb

DUN Negeri Sembilan lulus usul tergempar kutuk tindakan kejam Israel di Palestin

SEREMBAN, 10 Oktober - Usul tergempar mengutuk tindakan kejam rejim zionis Israel yang mencetuskan pergolakan terkini di Palestin diluluskan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin ketika membentangkan usul itu di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, memohon Ahli Dewan Undangan Negeri menyatakan ketegasan serta mengutuk siri kekejaman dan keganasan Israel.

Tindakan kejam itu secara jelas melanggar undang-undang dan hak asasi manusia termasuk mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa.

"Sesungguhnya dunia terkesan dengan perkembangan terbaharu konflik di Semenanjung Gaza yang menggugat keselamatan dan keamanan rakyat Palestin. Justeru, dewan dimohon untuk menuntut masyarakat antarabangsa bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera mengatasi krisis ini.

"Satu tekanan antarabangsa perlu dilakukan segera bagi menghentikan segala kegiatan yang melanggar undang-undang dan hak asasi kemanusiaan seperti ini, semua pihak perlu menghormati hak dan kedaulatan rakyat Palestin di atas muka bumi mereka sendiri,” katanya

Atas prinsip itu, semua wakil rakyat diseru menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan segera selain meluluskan tabung amanah kutipan sumbangan daripada orang ramai dan swasta bagi membantu rakyat Palestin.

Aminuddin berkata tabung di seluruh masjid di negeri ini akan digerakkan selama sebulan, manakala solat hajat bagi kesejahteraan rakyat Palestin akan diteruskan selain mengesyorkan khutbah khas Jumaat ini adalah berkaitan Palestin.

(FOTO AFP)

Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang) ketika membahaskan usul itu berkata apabila melibatkan isu kemanusiaan, semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu mengenepikan sebarang perbezaan politik yang ada.

Katanya tindakan zalim, kejam dan ganas yang menimpa rakyat Palestin selama ini tidak boleh dimaafkan dan pencerobohan demi pencerobohan ke atas Gaza serta pendirian Israel menjadikan Palestin sebagai ‘padang jarak padang tekukur’ sememangnya perlu ditentang.

“Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sembilan agar bersama-sama memberikan sokongan dan bersolidariti terhadap malapetaka yang menimpa rakyat Palestin.

“Misi bantuan kemanusiaan hendaklah digerakkan dengan segera selain memperbaharui komitmen Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin. Kita perlu bersama-sama memberikan sokongan penuh terhadap mana-mana badan bukan kerajaan dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan,” katanya.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan negeri turut menggesa kuasa besar dunia supaya tidak lagi mendiamkan diri dengan menjadi penakut, pengecut dan hanya menjadi pemerhati, sebaliknya mereka perlu campur tangan serta mempertahankan kedaulatan negara Palestin.

Media Baharu