SUBANG JAYA, 4 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti korek tanah berhampiran lokasi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, dua hari sebelum kejadian.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan mendapati kerja-kerja penggalian itu bertujuan menggantikan paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari pusat letupan.
"Pihak polis telah mengenal pasti pemaju, kontraktor dan pekerja yang terlibat dalam kerja tersebut yang menggunakan dua jentera untuk menggantikan paip kumbahan sedia ada.
"Kerja-kerja mengorek tersebut dihentikan pada 30 Mac lalu," katanya pada sidang media laporan awal mengenai insiden kebocoran gas di Putra Heights, di sini, hari ini.
Tambah beliau, sebuah mesin jengkaut dikhuatiri terbenam di kawasan tempat kejadian, namun setakat ini tiada mayat ditemukan.
Hussein berkata pihak polis masih mengumpulkan maklumat daripada saksi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Setakat ini, PDRM telah merakam percakapan 56 saksi yang terdiri daripada mangsa, individu yang berada di tempat kejadian, serta pihak kontraktor dan pekerja terlibat.
"Kami juga telah mengenal pasti seorang saksi yang berada di tempat kejadian sewaktu letupan berlaku, iaitu seorang pengawal keselamatan yang berada di depan bangunan yang baru didirikan, kira-kira 30 meter dari pusat letupan," katanya.
Jelas beliau, saksi berkenaan turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.