fb fb fb fb fb

Kebakaran Putra Heights: Laporan awal dijangka dalam tempoh dua minggu

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di Putra Heights

SUBANG JAYA, 4 April - Laporan awal insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan diperoleh dalam tempoh dua minggu, disusuli laporan penuh dua minggu berikutnya. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, letupan besar yang terhasil menyebabkan landskap asal lokasi tersebut menjadi tidak stabil. 

Sehubungan itu, ketika ini kerja-kerja menstabilkan tanah sedang giat dilaksana, sebelum laporan awal dapat dikeluarkan agensi berkaitan. 

"Kawasan tersebut tidak stabil buat masa ini. Jadi kerja-kerja dalam dua tiga hari ini adalah kerja kita untuk menstabilkan kawasan tersebut supaya, apabila ia stabil baru kita boleh korek dan dapatkan keterangan-keterangan daripada segi paip. Ada bahan letupan, lain-lain apa-apa keterangan fizikal yang boleh diguna pakai oleh pihak siasatan teknikal.

"Keadaan yang kompleks, perkara ini tak boleh lihat secara terus. Kita perlu stabilkan dulu keadaan yang telah menghasilkan satu kawah ataupun lubang yang besar di kawasan tersebut," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media yang berlangsung di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di Putra Heights, di sini.

 

TETITIA YUSOFF