fb fb fb fb fb

Polis keluarkan 48 saman kesalahan meletakkan kenderaan di Jalan Temiang-Pantai


SEREMBAN, 7 Februari- Sebanyak 48 saman telah dikeluarkan polis kepada pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan di Jalan Temiang-Pantai di sini untuk tujuan bergambar.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, daripada saman yang dikeluarkan itu, kesalahan tertinggi direkodkan adalah meletakkan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan untuk tujuan bergambar dan berkumpul.

“Jika mahu ambil gambar tidak jadi masalah, tetapi jangan sampai meletak kenderaan di bahu jalan dan lorong kecemasan sehingga laluan trafik terganggu dan mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada kes kemalangan direkodkan berlaku di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini.

Mohamad berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan bersama agensi lain akan meneruskan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna lalu lintas.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti berbasikal dan jogging dibenarkan di laluan berkenaan selagi tidak mengganggu keselamatan lalu lintas serta tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Sebelum ini, media malaporkan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tindakan pemandu yang berhenti di lorong kecemasan tanpa alasan yang munasabah adalah satu kesalahan.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong berkenaan kecuali kes kecemasan.

“Bagi kesalahan itu, denda boleh dikenakan kepada pemandu tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Media Baharu