fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tahan tiga lelaki, rampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM125,000

(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menunjukkan pelbagai jenis dadah yang 
dirampas dalam tiga serbuan berasingan di tiga daerah di negeri Kelantan, semalam)  

KOTA BHARU, 19 Oktober - Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM125,000 dalam tiga serbuan berasingan di tiga daerah di negeri itu semalam.

Turut ditahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 41 tahun yang dipercayai pengedar dadah.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun kesemua suspek direman seminggu bermula hari ini dan semalam.

Rampasan dadah terbabit dipercayai untuk pasaran seluruh negara dan boleh digunakan kepada 6,657 penagih.

"Kalau dia nak bawa secara besar-besaran mungkin dalam situasi sekarang tak berapa yakin, mungkin dia buat secara runcit, jadi kalau kita jumpa rampasan kecil pun tak semestinya untuk pasaran tempatan sahaja, itu kita akan buat siasatan lanjut lah, yang pentingnya walaupun banyak atau sedikit, tindakan terus akan kita ambil," kata beliau pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam kes pertama, anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) melakukan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sakar, Tendong, Pasir Mas sekitar pukul 7.31 pagi.

Hasil serbuan seorang suspek berusia 22 tahun ditahan serta menemui 4,000 biji pil yaba dianggarkan bernilai RM40,000.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bercakap pada sidang media di Kota Bharu,
hari ini)

Bagi kes kedua pula pada pukul 8.18 pagi di Tumpat, sejumlah dadah jenis ganja seberat 503 gram, heroin (100 gram), pil psikotropik (450 biji) serta pil yaba (2 biji) bernilai hampir RM70,000 ditemui dalam sebuah rumah di Kampung Tebing, Pengkalan Kubor.

Suspek berusia 25 tahun di percayai menjadi dalang dalam kes itu berjaya diberkas.

Manakala untuk kes ketiga, seorang penganggur berumur 41 tahun ditahan sekitar pukul 3.38 petang.

Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap suspek di tepi jalan di Felda Kemahang Dua, Tanah Merah, anggota polis menemui 500 biji pil yaba dan heroin seberat 20.2 gram bernilai RM15,000 yang disorokkan dalam beg pinggang milik suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu