fb fb fb fb fb

Bajet 2023 'janji' yang boleh direalisasi, bukan manifesto 'bulan bintang'

TASEK GELOGOR, 19 Oktober- Segala intipati dalam Bajet 2023 yang dibentang di Parlimen merupakan ‘janji’ yang akan dan mampu dilaksana dari segi kewangan, berbeza dengan manifesto.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, bajet tidak boleh ‘ditipu’ dan semua yang dijanjikan telah dikaji secara teliti sebelum dibentang di hadapan Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia.

"Ada beza antara bajet yang dibentangkan dengan manifesto. Manifesto ini macam-macam boleh, langit dan bintang semua dia janji, kalau boleh bulan tu nak dibawa jatuh ke riba, tetapi cukuplah sekali terkena, jangan kita lupa dahulu macam-macam janji dalam manifesto mereka.

“Tetapi bila kita bentang bajet, duit dah tersedia, ini bezanya. Kita bukan janji kosong, duit dah ada, kita dah bincang dari segi kewangan, mencukupi atau tidak, kita dah siap sedia kewangan cuma tunggu kelulusan, ini beza bajet dan manifesto,” katanya pada Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di sini.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ismail Sabri mengakui, walaupun Bajet 2023 telah dibentang, namun ia masih ‘tergantung’ dan menunggu kelulusan Ahli Parlimen.

“Jadi tergantung, kita boleh selesaikan masalah tergantung ini, kuasa di tangan tuan-tuan dan puan-puan, pastikan lepas Pilihan Raya Umum (PRU15), perdana menteri yang sama, bajet yang kita luluskan akan dibentang semula dan diluluskan dalam kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti,” kata beliau lagi.

Media Baharu