fb fb fb fb fb

KPDNHEP akan perkasakan semula peranan Rakan KPDNHEP, jadi mata dan telinga kementerian

(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid
bergambar dengan para pemenang Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah
(CIP KPS) Peringkat Kebangsaan tahun 2022)

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperkasakan semula peranan Rakan KPDNHEP yang dahulunya dikenali sebagai Skuad Pengguna di seluruh negara, yang menjadi mata dan telinga kementerian tersebut.

Ia sebagai salah satu usaha bagi membantu menangani isu kepenggunaan secara lebih berkesan dan menyebarkan luaskan lagi maklumat kepada masyarakat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata berdasarkan rekod, lebih 811,000 pengguna berdaftar menjadi Rakan KPDNHEP yang melakukan pemantauan dan membuat sebarang laporan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau etika oleh peniaga dan industri peruncitan.

Namun begitu, peranan gerakan berkenaan masih dilihat kurang menyerlah dan perlu beberapa penambahbaikan serta nafas baharu.

Ia sekali gus menjadi satu entiti sokongan sukarela yang mantap untuk membantu KPDNHEP menangani Isu-isu kepenggunaan secara lebih berkesan.

"Jadi kita perlu aktifkan balik dengan pelbagai insentif lah, Insya-Allah, selepas ini, saya difahamkan data-data yang kita ada cuma dalam 10% sahaja yang aktif dalam 800,000 tersebut, jadi kita tak mahu yang ramai tetapi tidak bermutu, jadi kita harap selepas pada ini kita akan buat gerakan untuk re-aktif Rakan KPDNHEP ini supaya dia jadi mata dan telinga kerajaan dan begitu juga rakan-rakan media mendaftar sebagai Rakan KPDNHEP ini," kata beliau selepas merasmikan Majlis Penutup Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Peringkat Kebangsaan tahun 2022 di Batu Burok, di sini hari ini.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid
ditemu bual media selepas merasmikan Majlis Penutup Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab
Pengguna Sekolah (CIP KPS) Peringkat Kebangsaan tahun 2022) 

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalannya Datin Roszanina Wahab, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNHEP Adiratno Che Ani, serta Pengarah KPDNHEP Negeri Terengganu Saharuddin Mohd Kia.

Terdahulu, pada majlis ini sekumpulan empat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, Bintulu yang mewakili negeri Sarawak diumumkan juara CIP KPS 2022.

Selaku juara keseluruhan daripada 16 kumpulan yang bertanding pada peringkat kebangsaan ini, mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 beserta trofi, medal dan sijil.

Naib juara pula dimenangi wakil dari negeri Sabah, iaitu kumpulan pelajar dari SMK Sri Nangka, Tuaran dengan hadiah wang tunai RM3,000.

Manakala Sekolah Menengah Alam Shah yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Media Baharu