fb fb fb fb fb

Polis Kelantan siap siaga hadapi MTL

Anggota yang berkenaan diarahkan untuk sentiasa bersedia termasuk memastikan aspek keperluan logistik dan aset berada dalam keadaan baik.  

KOTA BHARU, 7 November- Polis Kelantan sudah bersiap siaga untuk berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang sering melanda negeri itu hampir pada setiap tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, mesyuarat secara berkala bersama semua agensi juga telah di buat bagi memastikan kesiap siagaan berada pada tahap terbaik.
 
Beliau berkata perubahan cuaca juga berlaku di negeri itu menandakan musim tengkujuh bakal tiba, justeru anggota yang berkenaan diarahkan untuk sentiasa bersedia termasuk memastikan aspek keperluan logistik dan aset berada dalam keadaan baik.
 
"Pihak kami menitik beratkan kerjasama baik dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) supaya tugasan sepanjang banjir berjalan lancar.

"Dalam masa sama, penduduk terutama yang yang berada di penempatan rendah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah awal berpindah jika banjir melanda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Muhammad Zaki, berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya belum mengambil sebarang ketetapan termasuk pembekuan cuti anggota.    
 
Media sebelum ini melaporkan, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan, berkata ketika awal MTL dari November hingga Januari tahun depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI