fb fb fb fb fb

Dakwaan cetakan senaskah al-Quran terjemahan bernilai RM500 tidak benar- Mohd Na’im  

Datuk Dr Naim Mokhtar (kanan) pada Majlis Pelancaran Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023, hari ini.

KUALA LUMPUR, 7 November- Kos cetakan senaskhah al-Quran bagi operasi mencetak sejuta al-Quran, cuma RM38 dan bukannya RM500 seperti didakwa Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar, ketika ini kerajaan telah mencetak sebanyak 96,000 naskah al-Quran terjemahan dengan nilai RM38 senaskah.

“Jadi dengan RM38 pengiraan saya dalam RM10 juta itu, ada 265,000 insya-Allah pada tahun 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023, hari ini.

Sementara itu Mohd Na’im berkata, sehingga kini sebanyak 96,000 naskhah al-Quran sudah diagihkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, Khmer dan Sweden.

“Sekarang ini kita sudah agihkan 70,000 cetakan dalam bahasa Inggeris, 20,000 Mandarin, 5,000 Khmer dan 1,000 Sweden,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai mewakafkan al-Quran kerana menurutnya pada ketika ini ramai orang bukan Islam mula tertarik mendalami Islam dan mereka memerlukan sumber rujukan rasmi iaitu al-Quran.

Mengenai Majlis Pelancaran Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu Mohd Na’im berkata program anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) itu telah bermula sejak 2012, dengan kerjasama Majlis Agama Islam negeri.

Konvoi tiga hari di Baling dan Sik, Kedah bermula hari ini sehingga 9 Nov itu, bagi membolehkan agensi zakat itu memberi pencerahan dan menggalakkan umat Islam mengeluarkan zakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt, mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk disalurkan kepada Yayasan Restu, bagi operasi mencetak terjemahan al-Quran dalam bahasa asing utama dunia.

ZEHRA BINTI ZAMBRI