fb fb fb fb fb

OTM Sound Of Malaysia bakal melabuhkan tirai 10 November ini

Foto FB OTM

KUALA LUMPUR, 7 November – Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia anjuran Istana Budaya bakal melabuhkan tirai persembahan untuk tahun ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Konsert Sound of Malaysia merupakan gabungan kolaborasi anjuran bersama OTM dan Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam bagi mempergiatkan pendedahan muzik tradisional kepada generasi muda khususnya kepada warga kampus di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"Kolaborasi ini juga turut menyediakan program mentor-mentee dalam pengisian tiga bengkel iaitu Bengkel Gamelan dan Bengkel Caklempong pada 9 November serta satu sesi Masterclass: Instrumentasi dan Artistik Persembahan pada 10 November.

"Ini merupakan peluang keemasan kepada warga kampus dalam mendapatkan ilmu tambahan sambil bermain alat muzik yang dijadikan sebagai edutainment," kata Istana Budaya menerusi kenyataan.

Program Jangkauan OTM itu merupakan program yang disusun untuk Kempen Gerak dalam memaparkan keunikan OTM melalui gabungan pelbagai jenis muzik dari kaum dan etnik di Malaysia terutama sekali kepada pelapis-pelapis pemuzik dari IPTA dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tiga Universiti yang telah terlibat menjayakan OTM menerusi Sounds of Malaysia itu ialah Management and Science University (MSU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Gegar Kembara Muzik Tradisional pada 14 dan 15 Oktober 2023.

"Warga kampus dan orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan lagi Sounds of Malaysia pada 10 November 2023 (Jumaat) bermula pukul 8:45 malam bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

"Tiket persembahan telah mula dijual dengan harga serendah RM55 dan penjualan tiket Sounds of Malaysia hanya boleh didapati di portal https://www.excitix.com.my/," tambah kenyataan itu.

Konsert Sound of Malaysia di UiTM Shah Alam turut akan menampilkan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Haziq Rosebi dan Dhiya Suhaili.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari portal dan platform media sosial Istana Budaya dan CCA Conservatory of Music UiTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN