fb fb fb fb fb

LZS agih bantuan khas asnaf berjumlah RM34.25 juta, santuni 68,500 penerima

Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Khas Keperluan Hidup di Masjid Al-Falah Jenjarom, Kuala Langat.

KUALA LANGAT, 7 November- Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan 'Bantuan Khas Keperluan Hidup' berjumlah RM34.25 juta yang mula diagihkan sejak 1 November lepas kepada 68,500 penerima layak dijangka selesai Jumaat ini.

Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Md Yusmizan Yusuf berkata, bantuan khas zakat secara one-off yang  diagihkan sejak Rabu lepas itu dikreditkan terus kepada akaun bank penerima berkenaan yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf di negeri itu.

Jelasnya, agihan zakat berkenaan merupakan pemberian tambahan bantuan sedia ada yang diterima golongan berkenaan bertujuan membantu meringankan perbelanjaan isi rumah berikutan kenaikan harga barang.

"Daripada jumlah tersebut, kira-kira sebanyak RM12.41 juta disalurkan kepada asnaf fakir melibatkan 24,823 penerima dan RM19.62 juta lagi disalurkan kepada 39,239 asnaf miskin, manakala RM2.22 juta disalurkan kepada asnaf mualaf seramai 4,438 penerima.

"Bantuan ini berbentuk tunai RM500 yang boleh digunakan untuk asnaf bagi menampung pendapatan mereka," katanya.

Md Yusmizan  berkata demikian selepas program tersebut yang turut dihadiri oleh Orang Besar Daerah Kuala Langat, Datuk Mohamed Al haj Tengku Harun dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan di Masjid Al-Falah Jenjarom, Kuala Langat.

Dalam majlis itu, LZS turut menyampaikan sumbangan kepada empat individu asnaf fakir dan miskin masing-masing menerima bantuan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah serta bantuan perubatan dengan keseluruhan bantuan zakat berjumlah RM241, 471.

Sementara itu, tiga buah masjid dan surau dalam daerah Kuala Langat turut menerima sumbangan baik pulih serta peralatan masjid dengan jumlah keseluruhan bernilai RM223,000.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI