fb fb fb fb fb

Polis Kelantan berjaya rampas 97,780 liter minyak diesel bernilai lebih RM200,000

TANAH MERAH, 19 Jun- Polis Kelantan berjaya merampas 97,780 liter minyak diesel bernilai lebih RM200,000 dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Machang awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hasil serbuan yang dilakukan oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHNHEP) Kelantan menahan lapan suspek termasuk seorang warga Bangladesh berumur antara 29 hingga 50 tahun.

Beliau berkata menerusi dua serbuan itu, pihaknya merampas lima lori, tiga mesin penyedut minyak dan enam tangki statik dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM910,007.

"Hasil pemeriksaan ke atas tangki motolori menemui 28,800 liter minyak diesel yang dipercayai dibeli dari stesen minyak berhampiran untuk dijual semula kepada pemborong.

"Pemeriksaan juga dibuat ke atas enam lagi tangki berwarna kelabu menemui minyak diesel sebanyak 62,000 liter.


(Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

"Manakala serbuan kedua dilakukan jam 3.15 pagi di sebuah stesen minyak di daerah Machang dan menahan 5 lelaki.

"Turut dirampas sebuah motolori penggerak utama dan 3 motolori di kawasan itu yang sedang memindahkan minyak diesel dari motolori kedalam motolori penggerak utama bersama tangki minyak.

"Hasil semakan juga mendapati motolori dan nombor chasis adalah tidak sama dengan pendaftaran asal", katanya.

Kesemua suspek dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media di Tanah Merah, Kelantan.

Media Baharu