fb fb fb fb fb

Polis guna dron pantau kelancaran lalu lintas di lokasi panas

(Keadaan lalu lintas diambil daripada dron di plaza Tol Gombak/FOTO PDRM)

KUALA LUMPUR, 21 Januari - Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memulakan pemantauan keadaan lalu lintas di beberapa lokasi panas sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata sepanjang Op Selamat 19, unit dron ditempatkan di sektor utara, timur dan selatan bagi memudahkan segala input atau maklumat disampaikan dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar tindakan segera diambil.

"Kita sentiasa komited dalam memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.

"Kita jangkakan sebanyak 170,000 ribu kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, 60,000 di Lebuhraya Pantai Timur 1 manakala 2 juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan akan berada di lebuh raya bermula hari ini," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

(Pegawai dan anggota unit Dron PDRM yang sedang mengendalikan Dron di lokasi panas KM367 PLUS dekat Slim River/FOTO PDRM)

Katanya, pergerakan akan mula sesak apabila orang ramai telah mula pulang ke Pantai Timur, Utara dan Selatan.

PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya termasuklah bagi menunaikan solat atau ke tandas.

"Kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas akan memastikan tiada tragedi berlaku di musim perayaan ini," tambahnya lagi.

(Pemantauan keadaan lalu lintas JSPT bersama Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, PDRM di KM 367.3 PLUS Slim River, Perak/FOTO PDRM)

(Keadaan lalu lintas diambil dari Dron di KM367- KM365 Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River
(Sesak menghala ke utara)/FOTO PDRM)

Media Baharu