MANJUNG, 21 Jun- Polis Perak membuka kertas siasatan berhubung kematian mengejut seorang pelajar tingkatan tiga di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 4.38 petang semalam.
“Siasatan awal dengan pihak sekolah mendapati pelajar itu dilihat tidak sihat dengan berjalan menggunakan tongkat kerana mengalami kesakitan pada bahagian kaki sebelum menelefon keluarga mangsa untuk dibawa pulang.
“Keluarga pelajar kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah sebelum membawanya ke hospital setelah mendapati keadaan anak mereka semakin teruk. Keadaan mangsa semasa diterima di Jabatan Kecemasan adalah tenat dan diberikan bantuan pernafasan dengan serta-merta dan terus dimasukkan ke wad rawatan rapi bagi penjagaan pakar pada 10.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Nordin berkata pihak hospital kemudiannya telah memaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia pada pukul 12.06 tengah malam.
Punca kematian adalah disebabkan Alute Massive Pulmonary Embolism atau darah beku tersumbat di paru-paru.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.
(FOTO HIASAN)