(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 21 Jun- Seramai 13,243 warga asing ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa bagi tempoh pada tahun 2020 sehingga 6 Jun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan tidak akan berkompromi khususnya aspek keselamatan melibatkan kemasukan dan keberadaan warga asing dalam negara.
Sebagai langkah kawalan, permohonan visa daripada pelancong asing akan disaring terlebih dahulu secara dalam talian.
"Pejabat Perwakilan Malaysia dan Pejabat Atase Imigresen di luar negara akan menyaring terlebih dahulu permohonan visa secara dalam talian daripada pelancong dari negara yang memerlukan visa.
"Ini diikuti pemeriksaan di pintu-pintu masuk semasa ketibaan, sebelum kemudahan Pas Lawatan Sosial diberikan yang menekankan pematuhan terhadap beberapa syarat.
"Syarat itu antaranya adalah memiliki dokumen perjalanan sah dan diiktiraf Kerajaan Malaysia, mempunyai visa sah bagi negara-negara memerlukan visa, mempunyai wang mencukupi bagi menyara hidup selama tempoh keberadaan di Malaysia, bebas daripada Senarai Syak Jabatan dan Sistem 'Stolen Lost Travel Document', mempunyai tiket penerbangan keluar (pulang) ke negara asal," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara hari ini.
Shamsul berkata, syarat kelulusan lain termasuklah individu berkenaan tidak tersenarai dalam orang yang dilarang masuk mengikut Seksyen 8 (3) Akta 155.
(Dr Shamsul Anuar Nasarah)