SERDANG, 16 Januari - Mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia antara tindakan tiga lelaki tempatan yang dipercayai menjalankan pemerasan melibatkan beberapa premis kesihatan dan kecantikan tidak berlesen di sekitar kawasan Lembah Klang.
Kegiatan yang dijalankan sejak September tahun lalu, dipercayai didalangi seorang individu tempatan yang mempunyai asas berkaitan perundangan melibatkan kesihatan dan kecantikan.
Bagaimana pun, kegiatan ketiga-tiga suspek telah diberkas sepasukan anggota polis di sebuah pusat kecantikan di Bandar Puteri, Puchong pada Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki tempatan berumur lingkungan 38 hingga 48 tahun.
(Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan menunjukkan baju yang digunakan
tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai KKM)
Menurutnya, kesemua suspek ditahan berdasarkan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang dan Balai Polis Seri Kembangan.
"Berkelulusan tinggi, dia telah mengkaji akta perubatan dan mengetahui segala selok-belok dalam KKM, menyebabkan lebih mudah mangsa-mangsa mempercayai bahawa mereka ini dari Kementerian Kesihatan Malaysia, tambahan pula mereka menyamar dengan baju, 'vest' yang seumpama yang boleh dipercayai bahawa mereka ini adalah daripada pihak Kementerian Kesihatan, jadi di sini lah premis, tuan punya premis yang menjalankan salon kecantikan akan mempercayai bahawa mereka daripada KKM dan seterusnya mereka akan 'deal' atau membayar kerana takut diambil tindakan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini.
Kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.
Suspek juga ditahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.