fb fb fb fb fb

Polis bantuan maut, kenderaan rempuh pacuan empat roda

Foto IPD Setiu

SETIU, 3 Disember- Seorang polis bantuan maut selepas kenderaan dinaiki merempuh sebuah pacuan empat roda yang sebelum itu mengalami kemalangan dengan sekumpulan lembu.

Insiden berlaku di Kilometer 57 Jalan Kuala Terengganu Kota Bharu dekat Rhu 10 kira-kira pukul 6.11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Che Mohd Nasir Jaafar, 56 tahun.

Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang anggota Akademi Bomba Wakaf Tapai yang sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Marang, terlanggar sekumpulan lembu yang tiba-tiba lari ke arah jalan raya.

"Beliau kemudiannya turun daripada kenderaannya untuk membantu mengawal lalu lintas menggunakan lampu suluh kerana keadaan gelap pada waktu itu.

"Bagaimanapun mangsa dari arah Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu merempuh pacuan empat roda berkenaan.

"Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan," katanya ketika dihubungi RTM.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat. Pelanggaran turut menyebabkan lapan ekor lembu mati di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM