fb fb fb fb fb

Pokok Sena di Kedah alami gelombang haba, seluruh Perlis tahap berjaga-jaga

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 Februari - Suhu panas tahap dua atau gelombang haba direkodkan di kawasan Pokok Sena di Kedah, setakat pukul 4.50 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook berkata, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

"Suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

"Lokasi lain Kuala Kangsar (Perak), Petaling dan Sepang (Selangor), Kuala Lumpur serta kawasan Beaufort di Sabah dan Limbang, Sarawak," menurut kenyataan itu.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan hujan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

TETITIA YUSOFF