KUALA LUMPUR, 29 Febuari- Istana Budaya akan mempersembahkan tiga program utama tahun ini iaitu Program Jangkauan OTM: Sound of Malaysia, Lambang Sari Series dan Teater Muzikal PuTeri Hang Li Po kepada orang ramai.
Menurut Ketua Pengarah, Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar, Istana Budaya tetap akan terus menganjurkan program-program sedia ada biarpun masih berada dalam proses menaik taraf bangunan itu.
"“Ini merupakan peluang terbaik Istana Budaya bagi membawa persembahan bertaraf dunia ini dekat dengan masyarakat dan antara lokasinya adalah di Melaka seiring dengan Tahun Melawat Melaka 2024, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan dan kebudayaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia ia akan melibatkan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Ia sebagai salah satu platform seni persembahan danperkongsian ilmu muzik tradisional Malaysia menerusi bengkel yang akan diadakan.
Sementara itu kejayaan program Lambang Sari Series masih diteruskan tahun ini kerana penjualan tiketnya di luar jangka (full house) pada tahun lalu.
OSK kekal membawa corak muzik yang unik jenis klasikal dan pop dengan tema Klasikal Barat, Patriotik dan Bersama Bintang untuk tahun ini.
Manakala Teater Muzikal Puteri Hang Li Po kembali dihidupkan dengan nafas baru turut dipersembahkan. Ia merupakan simbolik bersempena dengan
sambutan ulang tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China yang akan dipentaskan secara ekslusif di pentas Encore Melaka.
Dalam pada itu Istana Budaya juga mengumumkan penerbitan dua buku rekaan kostum iaitu Teater Muzikal Hang Li Po & Muzikal Cheng Lock dan Teater Kanak-kanak Muzikal Ali Baba & Muzikal Sinbad.
Menurut Pengarang dan Editor bagi kedua-dua buku itu Badrul Zaman Abdul Jalil, buku tersebut bermanfaat untuk dijadikan koleksi serta bahan rujukan kepada penggiat seni dan juga pelajar-pelajar pengajian seni dalam merealisasikan sesebuah rekaan kostum seni persembahan.
Dalam perkembangan lain, Istana Budaya turut memperoleh nilai publisiti media lebih RM750 juta buat keseluruhan penglibatan Istana Budaya sepanjang tahun lalu.
"Ia termasuk segala bentuk pementasan di Istana Budaya, program anjuran Istana Budaya dan program kerjasama dengan MOTAC serta jabatan, agensi, insitusi bawah kerajaan," katanya.
Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Mohd Yusri Mohd Yusoff di Balai Seni Negara di ibu negara hari ini.