fb fb fb fb fb

PNB pilih dua kampung sebagai Kampung Angkat MADANI, salur RM1.32 juta

Datuk Abdul Rahman Ahmad

MERLIMAU, 21 September - Permodalan Nasional Berhad (PNB) memilih Kampung Merlimau Pantai di Melaka dan Kampung Telok Kandih di Kedah sebagai Kampung Angkat MADANI, dengan peruntukan berjumlah RM1.32 juta bagi memperkasa pendidikan, keusahawanan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, program di Melaka memberi tumpuan kepada pelancongan mampan serta perusahaan kecil, manakala di Kedah ia berfokus kepada pembangunan perniagaan dan memupuk potensi keusahawanan penduduk.

"Insya-Allah, kita juga akan melihat keperluan infrastruktur baharu seperti lokasi makanan yang boleh menarik pelancong. Selain itu, kita turut menyediakan tajaan istimewa bawah program Budi TVET dan asnaf untuk semua pelajar tempatan di sini.

"PNB juga menaja dua buah sekolah di Merlimau serta menganjurkan pelbagai aktiviti pendidikan dan komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kampung Angkat MADANI di Kampung Merlimau Pantai di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyambut baik sumbangan tersebut yang disifatkan mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

"PNB sudah membantu kita dalam pelbagai aspek, termasuk infrastruktur. Mereka juga menaja pelajar di Politeknik Merlimau sehingga tamat pengajian serta mengambil dua sekolah angkat untuk dibantu dalam bidang akademik.

"Selain itu, peniaga kecil turut menerima sokongan berupa peralatan seperti mesin tebu, ketuhar gelombang mikro dan pelbagai lagi bantuan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI