fb fb fb fb fb

PM10: Anwar Ibrahim selesai angkat sumpah di Istana Negara

(Foto JaPen)

KUALA LUMPUR, 24 November- Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, petang ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 oleh Anwar Ibrahim selesai pada pukul 5.16 petang.

Antara yang hadir menyaksikan upacara itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Selain itu, turut kelihatan ialah Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Rafizi Ramli.

Anwar, 75, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, pagi tadi.

Anwar dijadual akan mengadakan sidang media pertama sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Sungai Long Club House, Kajang, petang ini.

(Foto JaPen)

Media Baharu