PM zahir penghargaan atas kejayaan Kepengerusian ASEAN 2025

FOTO RTM

SERDANG, 19 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh pihak yang menjayakan Kepengerusian ASEAN 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghargaan kepada pasukan keselamatan, penjawat awam, dan petugas pembersihan atas usaha ikhlas menjayakan Kepengerusian ASEAN 2025.
  • Pujian terhadap komitmen luar biasa dalam memastikan program berjalan lancar termasuk kebersihan dan persembahan seni budaya.
  • Semangat perpaduan dan pengurusan cemerlang membolehkan Malaysia menonjol di persada antarabangsa tanpa insiden mengganggu.

Menurut Datuk Seri Anwar, kejayaan ASEAN itu adalah hasil usaha bersama dan komitmen tinggi semua pihak yang bertungkus-lumus mengangkat nama baik Malaysia di persada dunia.

“Percayalah, daripada lubuk hati saya, saya sangat menghargai usaha ikhlas pasukan keselamatan, penjawat awam, serta petugas pembersihan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau turut memuji komitmen luar biasa pasukan yang memastikan setiap aspek program berjalan lancar, termasuk kebersihan kota serta persembahan seni dan budaya yang menarik.

Tambah Datuk Seri Anwar, ini termasuk pengurusan kementerian, jabatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menunjukkan prestasi cemerlang tanpa sebarang insiden yang mengganggu.

“Yang saya nak nyatakan adalah tugas memang berat tapi saya rasa ringan sekali bila lihat selesai taklimat pukul 11.30 malam, 12.00 tengah malam masih tercegat lagi pasukan keselamatan, pegawai-pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, semangat perpaduan dan kesepakatan nasional membolehkan Malaysia menerima kehadiran tokoh-tokoh dan pemimpinan besar dunia.

“Percayalah bila saya sebut tidak ada siapa pengunjung dari luar yang pulang tanpa terkesan dengan kehebatan Malaysia, pertubuhan ekonomi Malaysia serta cara kita mengendali persidangan yang cekap,” kata Datuk Seri Anwar.