
KOTA BHARU, 31 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM250 juta bagi pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral), sekali gus meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di Kelantan.
- Perdana Menteri meluluskan pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral untuk menaik taraf kemudahan terminal bas negeri.
- Pembangunan infrastruktur pengangkutan perlu selaras dengan kemajuan kemudahan lain seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
- Pengumuman dibuat semasa Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat yang dihadiri lebih 3,000 masyarakat, ulama dan umarak.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan terminal bas di negeri berkenaan yang masih belum mencapai tahap sewajarnya.
Menurut Datuk Seri Anwar, pembangunan infrastruktur pengangkutan perlu bergerak seiring dengan kemajuan kemudahan lain termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
“Baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan memaklumkan bahawa Terminal Bas Kota Bharu masih belum dibaik pulih. Susulan itu, saya telah meluluskan cadangan pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral dan surat kelulusan juga telah dihantar kepada Menteri Besar Kelantan.
“Projek itu melibatkan kos sebanyak RM250 juta. Kita sudah mempunyai LTSIP yang dinaik taraf dengan kemudahan yang baik, namun keadaan terminal bas pula masih kurang memuaskan.
“Oleh sebab itu, perkara ini perlu dinilai semula dan saya telah meluluskan cadangan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan.
Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Jamek Muhammadi sebelum menyertai program yang menghimpunkan lebih 3,000 masyarakat setempat, ulama dan umarak.
Dalam pada itu, lebih 3,000 masyarakat menghadiri Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat 2026 di Dataran Muhammadi.
Program itu bertujuan memperkukuh hubungan antara ulama, umarak dan masyarakat, selain menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Penganjurannya selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh pembangunan kerohanian seiring kemajuan negara.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 41 institusi pendidikan Islam serta pelancaran inisiatif bantuan komputer riba kepada golongan asnaf.
Program anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan pelbagai agensi agama itu turut diisi dengan muzakarah ulama dan umarak, solat hajat serta persembahan selawat.