(FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sejumlah satu bilion unit tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) ditawarkan untuk langganan awam.
Saiz unit AHB kini telah ditingkatkan sebanyak lima kali menjadikan jumlah unit terkumpul AHB sebanyak lima bilion unit.
Unit tambahan melalui Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bagi memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera mempunyai pemilikan berfaedah ke atas pasaran hartanah di lokasi utama seluruh Malaysia.
"Saya ucap tahniah kepada Datuk Nizam kerana dapat mempertahankan pengurusan yang dapat dibanggakan. Kita sebagai orang Islam Melayu, kebanggan kita apa, tentunya perniagaan ekonomi dan pendidikan dan penting juga nilai integriti.
"Bila kita diamanahkan, kita perlu bimbingan di peringkat awal tetapi kami dapat uruskan sebaik mungkin dengan amanah dan tiada kecurangan berlaku,"kata Perdana Menteri.
Penambahan dana ini menawarkan peluang kepada Bumiputera untuk menyimpan dan melabur terutamanya sebagai perancangan persaraan masing-masing.
Unit tambahan yang diumumkan Perdana Menteri ini adalah hasil suntikan daripada beberapa aset terkini PHB meliputi Hospital Pakar KPJ Damansara 2 dan Wisma Consplant di Subang Jaya.
AHB merupakan sebuah unit amanah patuh Syariah berlandaskan hartanah yang pertama di Malaysia.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran
Unit Tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera)