PUTRAJAYA, 17 Oktober- Warga Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) disaran supaya terus kreatif dan inovatif bagi mempertingkat keupayaan serta keberkesanan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, perkara itu bagi menyambut aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah inovasi dan Hari Inovasi dan Kreatif (KIK) pada tahun ini. Semoga pengiktirafan yang diberikan dapat membangkitkan semangat kepada semua warga KPKT bagi menghasilkan produk inovasi," katanya selepas merasmikan Majlis Hari Inovasi KPKT 2023 di sini.
Dalam pada itu Nga berkata, peralihan kepada ekonomi kitaran adalah sangat mustahak kerana kaedah itu boleh memanfaatkan sisa, mengoptimumkan kitaran hayat produk serta meningkatkan penggunaan sumber bagi mengurangkan jumlah janaan sisa.
Ia dijangka memberi kesan yang sangat besar dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang sebagai legasi kepada generasi seterusnya.
Menurut laporan Indeks Inovasi Global (GII) Malaysia berada di tangga ke-36 daripada 132 buah negara bagi tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2021, 2022 dan 2023 dengan peningkatan skor keseluruhan 40.9 berbanding tahun lepas iaitu 38.7.
"Laporan tersebut menyatakan Malaysia menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan negara berpendapatan sederhana. Bagi kedudukan dalam negara ASEAN pula, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura," katanya.
Malaysia turut menyasarkan untuk berada dalam kelompok 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025 untuk memastikan Malaysia sebagai negara berdaya cipta dan pengeluar teknologi.
Majlis Sambutan Majlis Hari Inovasi KPKT 2023 serta Hari Inovasi dan Kreatif (KIK) diadakan setiap tahun bagi menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan melalui penghasilan projek-projek inovasi berimpak tinggi.
(Nga Kor Ming)