PUTRAJAYA, 25 Januari - Kerajaan tidak lagi melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat serta sektor ekonomi dalam menghadapi penularan COVID-19.
Pendirian itu diulangi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebaliknya beliau menjelaskan, kerajaan kini mengambil pendekatan lebih teratur dan tidak terlalu keras berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan.
Ini terutama berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Kerajaan tidak akan lagi membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Dari segi pergerakan tidak akan ada lagi menyekat pergerakan daerah ke daerah atau negeri ke negeri lagi cuma yang kita masih tutup adalah sempadan negara," kata Ismail ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.
Perdana Menteri turut memberitahu, kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi SOP sekiranya proses vaksinasi COVID-19 di negara ini termasuk dos penggalak selesai.
Perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan.
Jika SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.
Beliau berkata, walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.
"Kita lihat bahawa jika rakyat kita telah pun diberikan booster mungkin kita boleh bertenang sikit dari segi SOP. Kementerian Kesihatan perlu memberikan pandangan mengenai perkara ini, dan kita percaya apabila kita membuka sempadan negara kita keadaan ekonomi akan bertambah baik," katanya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail turut berpesan warga JPM bekerja dengan jujur dan berintegriti memandangkan semua dasar tertumpu di Jabatan itu.
Ini termasuklah mempromosikan Aspirasi Keluarga Malaysia agar jabatan berkenaan dapat dilihat lebih kedepan berbanding Jabatan lain dalam melaksanakan konsep berkenaan.