fb fb fb fb fb

PM ucap takziah kepada keluarga Hail Amir

Allahyarham Datuk Hail Amir

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi dan pelakon veteran Datuk Hail Amir yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar turut mendoakan supaya keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

"Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi Yang Maha Esa, insya-Allah. Karya anak seni Pulau Pinang ini pastinya akan terus dikenang buat selamanya,” kata beliau.

Pelakon veteran Datuk Hail Amir, 76 atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir meninggal dunia pada pukul 3.43 petang, di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Allahyarham yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Antara lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya.

Allahyarham juga terkenal di layar perak dengan filem popular lakonannya seperti Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.

TETITIA YUSOFF