KUALA LUMPUR, 26 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan selamat hari lahir kepada Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau mendoakan agar Presiden Ramos-Horta dikurniakan kesihatan yang baik, kejayaan berterusan serta kebijaksanaan dalam memimpin negara.
"Malaysia menghargai hubungan persahabatan dan kerjasama strategik yang erat dengan Timor-Leste, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan serantau di bawah ASEAN.
"Semoga hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste diharap akan terus berkembang demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kestabilan rantau ini," kata beliau menerusi hantaran berkenaan.
Ramos-Horta, yang dilahirkan pada 26 Disember 1949 di Dili, merupakan penerima Hadiah Keamanan Nobel dan memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan serta pembinaan negara Timor-Leste.
Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia pada Oktober lepas.