fb fb fb fb fb

Jualan RM1 juta minuman tin disasar bantu rakyat Palestin

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Hopipop x One Million Mission To Gaza di Kuala Lumpur/ RTM

KUALA LUMPUR, 26 Disember - Hansraeeza Legacy Sdn. Bhd. menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM1 juta minuman tin dalam tempoh enam bulan menerusi kempen khas 'Hopipop x One Million Mission To Gaza' untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Pengarahnya, Shafinaz Mohd Izhar berkata sejumlah RM1 daripada setiap tin yang dijual akan disumbangkan kepada tabung Cinta Gaza Malaysia (CGM) bagi membantu penduduk di Gaza.

Beliau berkata, kempen tersebut bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang, yang mana setiap pembelian mampu memberi impak besar kepada usaha kemanusiaan.

"Melihat penderitaan yang dialami rakyat Gaza, kami mengambil inisiatif menggerakkan misi yang mampu menghimpunkan sumbangan rakyat Malaysia secara kolektif.

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menyalurkan bantuan kepada Gaza," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Hopipop x One Million Mission To Gaza di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Shafinaz berkata, pihaknya akan mengadakan sesi siaran langsung setiap minggu bersama peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang juga selebriti, Heliza Helmi dan pempengaruh, Ardell Aryana menerusi TikTok Live bagi menyokong kempen berkenaan.

Katanya, minuman berperisa campuran tembikai, strawberi dan jeli yang dijual pada harga RM3.50 itu boleh didapati menerusi aplikasi TikTok Shop dan Shopee di akaun hopipop_hq.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN