KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Hujan lebat bermula malam tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar Kuala Terengganu terjejas banjir.
Sekolah Kebangsaan SK Chendering Kuala Terengganu antara pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka menempatkan penduduk dari Kampung Mengabang Tengah, Kampung Raja Chendering, Kampung Simpang Empat, Batu Enam Chendering dan Taman Permint Jaya.
Ketika ini, proses pendaftaran masih lagi berlaku dan angka jumlah penduduk terjejas banjir masih dikenal pasti.
Penduduk yang ditemui menyifatkan hujan yang terlalu lebat ditambah fenomena air pasang besar mempercepatkan lagi kenaikan paras air.
"Hujan lebat bermula pada malam tadi, sedar masa Subuh hujan tengah lebat lagi, bila hujan tak berhenti memang akan masuk air dalam rumah, kalau hujan tak lebat tak akan masuk sebab rumah sekarang ini memang paling rendah di kawasan itu," jelas Khairul Bariah Abdullah.
"Ini kali pertama, dulu sekali masa ribut tropika, doa supaya janganlah banjir, dengan tilam dan sebagainya, rosak semua, dulu dah pernah kena sekali, angkat semua barang letak atas kerusi," kata Zaitun Abdullah.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran JPS Terengganu, Ir Osman Abdullah berkata risiko banjir kekal tinggi khususnya kawasan di 460 kawasan hotspot.
Situasi dijangka bertambah teruk sekiranya berlaku pertembungan fenomena air pasang yang dijangka memuncak tengah malam ini dengan ketinggian 2.7 meter.