(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Festival Taman Kuala Lumpur 2023 selepas
merasmikan festival berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa hari ini/ Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 9 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, tindakan SPRM untuk memanggil Pengerusi Perikatan Nasional itu untuk siasatan, merupakan urusan agensi berkenaan meskipun semua agensi termasuk Pejabat Peguam Negara diarahkan untuk melihat kepada kes berkaitan rasuah sebelum ini.
"Jadi orang yang setuju atau tidak setuju tengok kes apa pendakwaannya dan apa pertuduhannya, belum tahu apa keputusan, setakat ini hanya dipanggil.
"Tetapi, untuk mengatakan semua kes yang diambil itu ada motif politik, maknanya tidak boleh tangkaplah, maknanya kes rasuah yang besar lain kena lepas," kata beliau ketika ditemui media selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Festival Taman
Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini/ Foto BERNAMA)
Anwar turut menegaskan sesuatu kes harus dilihat satu persatu sama ada benar wujud pendakwaan politik yang disebut atau pun berdasarkan fakta bagi memastikan negara ini bersih daripada rasuah.
Terdahulu, Muhyiddin hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu dipercayai memberi keterangan berhubung siasatan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).