MASJID TANAH, 9 Mac- Sebanyak 60 unit rumah jenis berkembar diserahkan kepada nelayan di Melaka, menerusi projek Penempatan Semula Nelayan (PSN).
Projek tersebut memberi manfaat kepada 60 nelayan di sekitar negeri tersebut yang memenuhi syarat-syarat kelayakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan sentiasa peka dengan nasib dan kebajikan para nelayan serta meneruskan bantuan kepada nelayan dan penternak akuakultur.
Katanya, dengan kemudahan ini diharap dapat memberikan keselesaan kepada nelayan sekali gus membantu dalam menjamin sekuriti makanan negara.
"Saya harap penerima hari ini dapat lah tinggal di sini. Kalau jual memanglah dapat keuntungan segera, dengan harga rumah di sekitar Melaka ini kebanyakkannya agak mahal.
Saya harap mereka dapat menjaga pemberian ini sebaik mungkin, kalau beri sambung kepada anak cucu pun lebih baik namun jika terpaksa, kena tengok keadaanlah," kata Mohamad kepada pemberita RTM pada Majlis Penyerahan Rumah Nelayan Di Bawah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Negeri Melaka di Sungai Ilir, Kuala Sungai Baru.
(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian kepada pemberita hari ini
pada Majlis Penyerahan Rumah Nelayan Di Bawah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Negeri Melaka)
Sementara itu, penerima Haron Sapar dan Rozali Zakaria menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana penantian hampir sembilan tahun terjawab.
"Saya berasa amat gembira. Saya bawa anak-anak saya enam kali datang melihat rumah ini, bukan sekali dua. Alhamdulillah, saya sudah masuk rumah. Saya sangat gembira," kata Haron Sapar kepada pemberita RTM.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan, Jabatan Perikanan, LKIM kerana membantu kami mendapatkan rumah ini," kata Rozali kepada pemberita RTM.
Selain itu, kementerian melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur kepada golongan nelayan antaranya kompleks atau jeti pendaratan, pancang bot, stor enjin.
Tambahnya, pembangunan perikanan laut dan darat perlu dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi moden serta kepelbagaian spesis kultur bagi meningkatkan pengeluaran makanan.