fb fb fb fb fb

PM tiba di Thailand sempena lawatan rasmi tiga hari

BANGKOK, 24 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di Thailand pada pukul 8:15 malam waktu tempatan sempena lawatan rasmi tiga hari.

Ia sebahagian daripada rangka lawatan pengenalan Perdana Menteri ke negara-negara serantau selepas dilantik pada Ogos 2021.

Beliau disambut Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga merangkap Menteri Luar negara itu, Don Pramudwinai.

Turut serta pada sambutan di Lapangan Terbang Tentara Udara Diraja Thailand, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Perdana Menteri dijadual bertemu rakan sejawatnya, Jeneral Prayuth Chan-o-cha, di Rumah Kerajaan bagi mengadakan Mesyuarat Terhad.

Kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan sidang media bersama, menyentuh isu-isu dua hala berkepentingan bersama.

Tumpuan terarah kepada perincian rancangan pembukaan semula sempadan udara, darat dan laut Malaysia-Thailand demi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pergerakan rakyat di kedua-dua negara.

Aktiviti di sempadan merangkumi 70 peratus jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Thailand, yang mencatat peningkatan positif sebanyak 23 peratus pada 2021, dengan jumlah perdagangan mencecah RM97.97 bilion.

Thailand kekal sebagai rakan dagang ke-6 terbesar bagi Malaysia.

Media Baharu