fb fb fb fb fb

PM tiba di Laos untuk lawatan rasmi dua hari

VIENTIANE, 26 Jun- Perdana Menteri selamat tiba di Vientiane, Laos untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari.

Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay disambut Ketua Pejabat Perdana Menteri Laos, Alounxay Sounnalath dan isteri; Timbalan Menteri Luar Laos, Phoxay Khaykhamphithoune; Naib Gabenor Vientiane, Phounkhong Bannavong dan beberapa pegawai tertinggi kerajaan Laos.

Turut bersama menyambut ketibaan Perdana Menteri; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri; Timbalan Ketua Setiusaha Kementerian Luar, Datuk Norman Mohamad serta Duta Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud dan isteri.

(Perdana Menteri selamat tiba di Vientiane, Laos
untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari)

Esok Perdana Menteri dan isteri bersama delegasi Malaysia akan diberi Sambutan Rasmi oleh Perdana Menteri Laos, Dr. Sonexay Siphandone dan isteri di Bangunan Pejabat Perdana Menteri.

Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry dalam sidang media berkata lawatan Perdana Menteri ke Laos akan memberi peluang kepada pemimpin kedua-dua negara membina momentum positif sebelum Laos mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Indonesia pada tahun hadapan.

Sementera itu, kedua-dua Perdana Menteri dijadual menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama, Perjanjian Persefahaman dan Upacara Pertukaran Surat Niat (LOi).

Laos merupakan rakan kongsi strategik penting bagi Malaysia di rantau Asia Tenggara.

Kedua-dua negara mempunyai jalinan kerjasama erat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, perbankan, pendidikan, pertahanan dan bekalan tenaga.

Kunjungan rasmi kali ini membuka ruang kepada penerokaan kerjasama baharu selain memperluas kerjasama yang sedia terjalin.

Laporan Jasmaidy Aroff.

Media Baharu