fb fb fb fb fb

140 sijil eksport durian sejuk beku Pahang ke luar negara

RAUB, 26 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 140 sijil kesihatan bertujuan pengeksportan durian sejuk beku ke luar negara.

Pengeluaran sijil itu dilaksana bermula Januari hingga Mei tahun ini dengan mengikut prosedur ketat yang ditetapkan.

Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata bagi tahun 2022, sebanyak 131 sijil kesihatan dikeluarkan pejabat kesihatan daerah bagi pengeksportan durian sejuk beku ke China, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Taiwan, Kanada, Indonesia, Australia, Hong Kong, Peru dan New Zealand.

Jabatan Kesihatan negeri sentiasa menjalankan pemantauan ke atas premis pemprosesan makanan agar mematuhi keperluan negara pengimport dan perundangan dalam negara.

"Sebelum boleh untuk dieksport ia perlu dapatkan sijil kesihatan, jadi syaratnya ketat. Apabila sudah ada sijil kesihatan maksudnya kita telah pastikan kilang ini sebenarnya bagus dari segi standard, jadi baru kita keluarkan sijil kesihatan.

"Sijil itu merupakan sesuatu yang sah untuk mereka eksport kepada negara negara tertentu sebab sesetengah negara pengimport ia mempunyai keperluan yang kadang-kadang tidak sama," Dr. Nor Azimi ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan di sebuah premis pemprosesan durian sejuk beku, di sini.

Setakat ini katanya, terdapat 22 premis pemprosesan durian sejuk beku di Pahang melibatkan daerah Raub sebanyak 18 premis, Jerantut dua premis dan masing-masing satu premis di Bentong.

Kesemua premis pemprosesan tersebut mempunyai pensijilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Standard Malaysia untuk Titik Kawalan Kritikal Analisis Berbahaya (HACCP), Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Selain itu, premis juga perlu mematuhi keperluan perundangan negara bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan- Peraturan Makanan 1985.

Media Baharu