ADDIS ABABA, 18 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Addis Ababa, Ethiopia pada pukul 4.10 petang waktu tempatan (9.10 malam waktu Malaysia) bagi memulakan siri lawatan rasmi ke rantau Afrika.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole itu disambut oleh Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali dengan iringan lagu "Saya Anak Malaysia" dan kibaran Jalur Gemilang.
Perdana Menteri akan memulakan lawatan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie sebelum kedua-dua pemimpin menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Ethiopia untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu.
Tumpuan turut akan diberikan kepada pertemuan bersama Perdana Menteri Dr Abiy Ahmed Ali, yang akan memfokuskan kepada perbincangan dua hala berhubung agenda kerjasama strategik, perdagangan, pelaburan, pertanian dan komoditi, kesihatan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran sesama rakyat disusuli pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU).
Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Tuan Yang Terutama (TYT) Mahmoud Ali Youssouf, serta menyampaikan syarahan umum kepada belia Afrika yang dianjurkan bersama rakan-rakan strategik belia, sebagai platform memperkukuh hubungan belia Afrika-Asia.
Lawatan tersebut juga merupakan lawatan balas, susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Ethiopia ke Malaysia pada Oktober 2024.
Ini merupakan lawatan julung kali Perdana Menteri ke Ethiopia dan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Ethiopia yang telah terjalin sejak Januari 1965.
Turut mengiringi Perdana Menteri pada siri lawatan kali ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan delegasi pemimpin perniagaan.
Pada tahun 2024, Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika dengan jumlah perdagangan RM625.6 juta, serta eksport dari Malaysia bernilai RM579.9 juta, mencatatkan peningkatan 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.