KUALA LUMPUR, 18 November – Sebanyak RM33.9 juta direkodkan bagi jumlah perbelanjaan Skim Perubatan MADANI bagi 10 daerah setakat 30 September.
- Anggaran perbelanjaan Skim Perubatan MADANI dijangka meningkat sehingga RM50 juta menjelang akhir tahun selepas semua tuntutan selesai.
- Kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk 2026 bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer akut di 10 daerah.
- Skim rintis KKM ini mensasarkan golongan B40, menyediakan rawatan percuma di klinik swasta berdaftar.
- KKM membangunkan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) yang memberi manfaat kepada hampir 44,000 pesakit.
- Program ini membantu kurangkan kesesakan fasiliti KKM dan masa menunggu untuk prosedur kritikal serta disokong oleh mySalam dan PeKa B40.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, setelah semua tuntutan daripada klinik-klinik yang terlibat selesai, angka berkenaan dijangka mencecah sehingga RM50 juta menjelang akhir tahun ini.
“Bagi memastikan kesinambungan program ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk tahun 2026. Peruntukan ini akan membolehkan kerajaan terus menyediakan bantuan perkhidmatan penjagaan kesihatan primier akut ke semua 10 daerah berfokus,” katanya.
Skim Perubatan MADANI adalah inisiatif rintis kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwujudkan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut.
Penerima yang layak boleh menerima rawatan secara percuma di klinik-klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah skim berkenaan.
KKM turut membangunkan perkhidmatan lain seperti Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) yang memanfaatkan hampir 44 ribu pesakit.
“Melalui program ini, kesesakan di fasiliti kesihatan di bawah KKM serta waktu menunggu bagi pesakit untuk prosedur yang mempunyai permintaan tinggi dan kritikal dapat dikurangkan,” tambahnya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi KKM di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Jelasnya, kerajaan turut melaksanakan skim mySalam dan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) bertujuan mengurangkan tanggungan kos perkhidmatan kesihatan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.