SUBANG, 18 November - Malaysia kekal komited terhadap usaha keamanan sejagat melalui penyertaan berterusan dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, penglibatan MALBATT 850-12 di Lubnan selama setahun membuktikan peranan ATM sebagai angkatan yang berwibawa, dihormati dan bersedia menggalas amanah antarabangsa.
“Pengorbanan, jasa dan komitmen yang dicurahkan sepanjang setahun di bumi Ambia amat besar ertinya, bukan sahaja kepada negara, tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa yang menghargai kehadiran Malaysia, khususnya masyarakat setempat.
“Penglibatan kita dalam misi pengaman bukan sahaja mengangkat imej Malaysia, malah memperkukuh keupayaan ATM melalui pengalaman operasi sebenar di kawasan konflik,” katanya pada Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT 850-12 di Pangkalan Udara Subang, pada Selasa.
Seramai 209 anggota kumpulan keempat yang tiba hari ini melengkapkan kepulangan keseluruhan 854 anggota ATM, ABDB serta elemen Kementerian Pertahanan, menandakan tamatnya misi setahun di bawah UNIFIL.
Dalam majlis sama, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada kerjasama rapat Malaysia–Brunei yang terjalin sepanjang operasi.
Menurutnya, misi MALBATT 850-12 berlangsung dalam lanskap keselamatan yang jauh lebih tegang berikutan konflik Israel–Gaza tambahan pasukan telah diuji seawal ketibaan mereka
Jeneral Tan Sri Mohd Nizam turut mengiktiraf prestasi luar biasa kontinjen itu, termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap beberapa anggotanya.
Majlis turut dihadiri Pemerintah ABDB, Panglima Tentera Laut, Panglima Angkatan Bersama dan pegawai kanan ATM.
MALBATT 850-12 yang diatur gerak pada 6 November tahun lalu ditempatkan di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin, melaksanakan rondaan keselamatan, pemantauan serta aktiviti Civil-Military Cooperation (CIMIC).
Majlis pembubaran rasmi kontinjen akan berlangsung pada 4 Disember di PUSASDA, Port Dickson sebelum amanah seterusnya diteruskan oleh MALBATT 850-13.