SEPANG, 15 Disember- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesawat yang membawa beliau dan suaminya Pidok Sooksawas tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 5.20 petang.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Bong Yik Jui.
Ini merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada Ogos lepas, untuk menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC) yang bertujuan mempererat hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama serantau.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan Paetongtarn akan disambut oleh Anwar dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.
Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor disusuli satu sidang media bersama dan jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar.
Paetongtarn dan Anwar akan bersama-sama mempengerusikan AC berkenaan serta satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas itu.
Lawatan berkenaan susulan daripada Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Ogos lepas.
Lawatan itu juga merupakan lanjutan daripada pertemuan peringkat tinggi antara kedua-dua negara, selepas lawatan kerja Anwar dan Paetongtarn ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lepas.
Thailand kekal sebagai rakan dagang penting bagi Malaysia, berada di kedudukan keenam terbesar di dunia dan kedua terbesar dalam ASEAN pada 2023 dengan perdagangan dua hala bernilai AS$24.83 bilion (RM113.16 bilion).
Bagi tempoh antara Januari hingga Oktober 2024, perdagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$20.75 bilion (RM95.50 bilion), melepasi AS$20.69 bilion (RM94.37 bilion) yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Paetongtarn Shinawatra dan suami, Pidok Sooksawas/RTM
BERITA BERKAITAN