fb fb fb fb fb

PM Thailand adakan lawatan kerja selama 2 hari ke Malaysia

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di New York baru-baru ini/FOTO Anwar Ibrahim)

PUTRAJAYA, 11 Oktober - Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini hingga esok.

Lawatan ini merupakan kunjungan sulung beliau selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada 5 September lalu.

Kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, semasa lawatan itu, Srettha dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada hari ini.

Pada hari sama, Srettha turut dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai semula kemajuan hubungan dua hala.

"Terutamanya kerjasama di dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan sempadan, serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu seperti keselamatan siber, ekonomi digital dan ekonomi hijau.

"Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

"Kementerian Luar Negeri yakin lawatan kerja itu akan memperkukuh lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua buah negara yang juga merupakan jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN,” menurut kenyataan itu pada hari ini.

Pada tahun 2022, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM122.03 bilion (US$27.75 bilion), peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (US$23.54) pada tahun 2021.

Media Baharu