fb fb fb fb fb

Ditamatkan bantuan EPOKU, KPWKM sahkan warga emas OKU tidak lagi bekerja

(Tangkap layar melalui video yang tular menunjukkan seorang pemuda mendakwa kononnya kerajaan telah menamatkan bantuan EPOKU kepada warga emas OKU)

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan video tular mengenai seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) kononnya ditamatkan bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) tanpa sebab munasabah.

Bagaimanapun, setelah semakan dan penelitian dibuat pada bulan lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati penama tersebut tidak lagi bekerja.

Menurutnya kenyataan KPWKM, warga emas tersebut merupakan penerima EPOKU berjumlah RM450.00 sebulan sejak September 2020 hingga Ogos tahun ini.

"Setelah semakan dibuat, penama telah menerima bantuan EPOKU iaitu satu insentif kerajaan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, mampu hidup berdikari dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang produktif.

"Namun apabila pendapatan telah meningkat atau penerima tidak lagi bekerja, maka kelayakan ini akan terbatal," menurut kenyataan pada Rabu.

EPOKU adalah merupakan antara skim bantuan untuk golongan OKU selain daripada Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT).

Insentif EPOKU diberikan kepada golongan OKU yang bekerja dengan berpendapatan RM1,500 dan ke bawah.

Katanya, JKM menawarkan pelbagai jenis skim bantuan bergantung kepada kategori penerima.

"Namun, syarat-syarat kelayakan perlu dipatuhi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berhak menerima bantuan sahaja akan diberikan insentif ini.

"Sumber kerajaan adalah terhad dan insentif atau bantuan kepada golongan tertentu adalah berdasarkan kelayakan," tambah kenyataan itu lagi.

KPWKM meningatkan masyarakat untuk bertanggungjawab terhadap perkongsian di media sosial kerana kesan penularan berita palsu ini boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan tidak berasas kepada orang awam.

"Kesalahan menyebarkan berita-berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya," katanya.

Terdahulu tular di media sosial melalui platform Facebook dan TikTok bahawa seorang warga emas OKU kononnya telah ditamatkan bantuan EPOKU.

Video tular itu dirakamkan dihadapan pejabat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Media Baharu