fb fb fb fb fb

Polis buru pemandu pacuan empat roda lawan arus di Dungun

(Tangkap layar video tular Hilux lawan arus di Dungun, Terengganu)

DUNGUN, 11 Oktober- Polis meminta bantuan orang ramai bagi menyalurkan maklumat berkenaan satu kejadian memandu melawan arus melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini, Terengganu, semalam.

Kejadian sekitar pukul 4.00 petang yang dirakam kamera papan pemuka milik seorang pengguna jalan raya itu turut tular di laman sosial.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kejadian dipercayai berlaku di persimpangan Kawasan Perindustrian Batu 7 di sini, berhampiran tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
 
Dalam rakaman itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux telah keluar dari satu persimpangan menuju ke arah Bandar Paka.
 
Kenderaan terbabit dilihat tidak menggunakan laluan yang betul, sebaliknya memandu secara melawan arus dengan sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak kenderaan itu.
 
Tegas Maizura, tindakan pemandu itu adalah berbahaya kerana laluan berkenaan merupakan laluan sibuk terutama pada waktu puncak dan boleh menyebabkan kemalangan.

Pada masa sama, beliau turut meminta pemilik rakaman video terbabit tampil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk menyalurkan maklumat.
 
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan IPD Dungun di talian 09-848 2222.

(Tangkap layar video tular Hilux lawan arus di Dungun, Terengganu)

Media Baharu