KUALA LUMPUR, 17 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terkesan dengan pemergian sahabatnya, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Ahmad Mohd Don yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata sebelum menjadi Gabenor Bank Negara, Ahmad adalah Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari 1991 hingga 1994.
“Mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga rohnya diberi keampunan oleh Allah SWT serta rohnya diberikan tempat yang terbaik oleh-Nya,” kata beliau dalam hantaran itu.
Tan Sri Ahmad, 77, meninggal dunia di kediaman keluarganya di Jalan Tengah, Stulang Bahru di sini awal pagi tadi.
Isterinya, Puan Sri Hamidah Mohamed, 57, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 1.55 pagi akibat kegagalan pelbagai organ.
Allahyarham dimasukkan ke wad unit rawatan rapi sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira dua minggu lepas setelah mengalami masalah komplikasi jantung.