fb fb fb fb fb

Logo halal JAKIM akan diperluas lagi - TPM

FOTO FACEBOOK Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 17 September- Logo pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan diperluas penggunaannya di seluruh dunia untuk meraih pasaran antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia kini mengiktiraf 88 badan pensijilan halal di peringkat global.

"Terdapat cadangan dari beberapa negara untuk menempatkan kilang di Malaysia bagi memperoleh sijil halal dan mengeksport barangan ke seluruh dunia. Ini akan meningkatkan keuntungan Malaysia, menambah nilai eksport, serta membuka peluang pekerjaan dan memajukan teknologi," katanya.

Tambahnya kerajaan juga komited untuk terus mengekal dan mempertingkatkan piawaian halal Malaysia serta memastikan kepercayaan negara luar terhadap sistem pensijilan halal negara.

Dalam pada itu, pemain industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam bidang makanan dan bahan diseru untuk menyumbang kepada penciptaan ekosistem yang menyokong graduan TVET.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata lebih ramai tenaga mahir dengan kepakaran teknikal termasuk auditor halal berkemahiran tinggi diperlukan dalam industri halal yang semakin berkembang.

Ini adalah untuk memastikan keaslian dan integriti amalan halal dipatuhi sepenuhnya.

"TVET mengikuti sukatan pelajaran yang disediakan oleh JAKIM untuk mewujudkan jawatan penyelia dan auditor berkaitan halal. Oleh itu, adalah baik jika graduan universiti atau TVET mengetahui selok-belok mengenai pengeluaran sijil halal dan dapat digunakan sebagai sumber dalaman dan luaran," katanya.

Katanya, sokongan industri TVET amat penting dalam membangunkan tenaga kerja yang kompeten, sekaligus memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai hab utama dalam industri halal global.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di sini, hari ini.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA